Sunday, July 15, 2012

KISAH PEMUDA YANG TERLIHAT AURAT WANITA


Tuhanku, aku tidak layak untuk syurgaMu,
Tetapi aku tidak pula sanggup menanggung seksa nerakaMu,
Dari itu kurniakanlah ampunan kepadaku,
ampunkanlah dosaku,
Sesungguhnya Engkaulah pengampun dosa-dosa besar,

~~~
Kisahnya berlaku di zaman Rasulullah S.A.W.
Terdapat seorang lelaki Ansar yang baru memeluk Islam.
Pemuda ini terlalu baik dan sentiasa berusaha untuk menjadi hamba Allah yang bertakwa.
Apabila Rasulullah s.a.w menceritakan tentang syurga,
dia akan segera menangis kerana merindui syurga Allah,
dan ketika Rasulullah s.a.w menceritakan tentang neraka pula,
dia juga segera akan menangis kerana takutkan api neraka Allah. 

Suatu hari, Rasulullah s.a.w telah mengamanahkan kepada pemuda itu satu bungkusan untuk disampaikan kepada seseorang dihujung bukit.
Pemuda Ansar itu menerima tugas dari rasulullah s.a.w itu dengan gembira.
Dia berjaya menyerahkan bungkusan itu kepada orang yang dimaksudkan Rasulullah s.a.w.
Selesai urusannya, dia pulang dengan hati yang gembira kerana telah melaksanakan tugasan yang diberi Rasulullah s.a.w dengan sebaiknya. 


Ketika melalui sebuah rumah yang pintunya terbuka.
Pemuda tersebut terlihat akan seorang wanita.
Wanita itu berpakaian tidak sempurna dan menampakkan tubuhnya yang putih gebu. Pemuda itu beristighfar dan memalingkan wajahnya.
Dia meninggalkan tempat itu sambil menangis ketakutan. 

Dia meminta ampun kepada Allah kerana tidak sengaja memandang aurat wanita itu. Dia begitu takut dan tidak mahu pulang kerana malu kepada Rasulullah s.a.w. Dia yakin Rasulullah s.a.w akan mendapat wahyu daripada Allah.
Dia tidak sanggup berhadapan dengan Rasulullah s.a.w kerana rasa berdosa. 
Pemuda itu melarikan diri di kawasan bukit-bukit diantara Makkah dan Madinah. 

Selama 40 hari pemuda itu tidak pulang.
Rasulullah s.a.w khuatir tentang keadaannya.
Malaikat Jibril a.s turun memberitahu Rasulullah s.a.w tempat pemuda itu berada. 
Rasulullah mencarinya untuk dibawa pulang.
Ketika tiba di bukit tempat dia bersembunyi, terdengar pemuda itu berdoa : 


Tuhanku, aku tidak layak untuk syurgaMu,
Tetapi aku tidak pula sanggup menanggung seksa nerakaMu,
Dari itu kurniakanlah ampunan kepadaku,
ampunkanlah dosaku,
Sesungguhnya Engkaulah pengampun dosa-dosa besar, 



Rasulullah s.a.w memujuknya untuk pulang.
Akhirnya dia akur kerana perintah daripada Rasulullah s.a.w.
Pemuda itu menangis menceritakan tentang dosanya yang tidak sengaja melihat aurat wanita.
Lalu Rasulullah s.a.w memujuknya dengan membacakan ayat 201 dari surah al-Baqarah.
Rasulullah s.a.w bersabda,
sesiapa yang membaca doa ini akan diampunkan Allah segala dosanya."
Ayat itu bermaksud, 
"Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, 
dan peliharalah kami daripada seksa neraka ..."

Tatkala Rasulullah sudah membacakan doa dari surah al-Baqarah itu,
pemuda itu jatuh pengsan.
Apabila sedar, Rasulullah bertanya apakah yang menyebabkan dia pengsan,
jawab pemuda itu, dia begitu ketakutan mendengar Rasulullah s.a.w menyebut api neraka. Dia tebayangkan seksaan neraka yang teramat dahsyat.



Tidak lama selepas dia pulang, pemuda itu jatuh sakit.
Rasulullah s.a.w tahu sakit pemuda itu tidak akan sembuh dan sedang menunggu hari untuk kembali ke sisi Allah.
Rasulullah mengangkat kepala pemuda itu lalu dipangku di atas ribaan baginda, 
seperti yang baginda sering lakukan ketika melawat sahabat-sahabat baginda yang sakit. 

Lelaki itu menghalang Rasulullah s.a.w daripada meletakkan kepalanya di pangkuan baginda.
Katanya, "Aku ini hina ya Rasulullah, banyak sekali dosaku.
Sedangkan pangkuanmu itu terlalu suci dan bersih. "
Rasulullah menitiskan airmata kerana begitu terharu dengan ketakwaan pemuda itu. 
Lalu Rasulullah s.a.w bertanya apakah permintaan terakhir pemuda itu. 
Pemuda itu menjawab, "Wahai Rasulullah, sebelum aku kembali ke sisi-Nya, 
bolehkah engkau tanyakan kepada Allah, 
apakah Dia mengampunkan dosaku yang terlihat aurat wanita yang sedang mandi itu?" 



Rasulullah s.a.w berdoa dan turunlah Jibril a.s menyampaikan berita :
"Wahai Muhammad, Allah mengirimkan salam kepadamu.
 Khabarkan kepada pemuda itu, seandainya dia mati sekarang ini dengan membawa dosa setinggi langit dan seluas bumi sekalipun,
lalu dia bertaubat dan memohon ampun kepada Allah,
maka Allah menerima cintanya seluas langit dan bumi ini juga!" 




Selepas melafazkan kalimah La ilaha illallah,
pemuda itu menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Semasa jenazah pemuda tersebut dibawa untuk dikebumikan,
Sahabat terpandang Rasulullah s.a.w berjalan terjengket-jengket.
Sahabat bertanyakan, apakah kaki Rasulullah terkena duri atau kaca?
Lalu Rasulullah SAW menjawab,
"Bukan wahai sahabatku, kakiku bukan terkena kaca atau duri.
Sebenarnya aku nampak perkara yang kamu tidak nampak.
Aku berjalan begini kerana terlalu sesak.
Aku terpaksa berjalan begini kerana ...
tahukah kamu bahawa semua malaikat yang berada di langit turun ke bumi untuk memikul bersama jenazah pemuda ini.
Kerana itulah jenazahnya terasa ringan ketika dibawa.
Dia seorang lelaki penghuni syurga. " 

~~~
Itulah kisah hidup seorang pemuda hebat.
Betapa takutnya dia dengan azab Allah s.w.t walaupun dia tidak sengaja terpandang aurat wanita itu. 
Namun dia merasakan dirinya tetap bersalah yang teramat sangat,
dan kerana ketakutannya terhadap azab Allah,
sehingga menyebabkan ajal menjemputnya dipangkuan baginda rasulullah s.a.w yang mulia.. 


Semoga kita tidak tergolong dikalangan manusia yang lalai..  


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...